DAULAT TUANKU
MERAFAK SEMBAH DENGAN UCAPAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH DAN UCAP SELAMAT KEPADA
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
SULTAN YANG DIPERTUAN BAGI NEGERI DAN JAJAHAN TAKLUK JOHOR DARUL TA’ZIM
SEMPENA SAMBUTAN ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN DYMM SULTAN JOHOR
SEMOGA ALLAH LANJUTKAN USIA TUANKU
PENGENALAN
Pada tahun 1528 Sultan Alauddin Riayat Shah dari keturunan kesultanan Melaka telah membuka Johor dan bertapak di Johor Lama. Dinasti ini memerintah Johor sehingga tahun 1699 iaitu tarikh kemangkatan Sultan Mahmood yang dikatakan dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bintan). Sultan Mahmood tidak mempunyai waris yang sah dan oleh itu pengurusan dan pentadbiran Johor berpindah kepada Dinasti Bendahara iaitu menteri-menteri yang membantu Dinasti Kesultanan Melaka. Oleh sebab perperangan dan bagi mengekalkan kuasa perdagangan, ibu negeri Johor berpindah sebanyak 20 kali di sepanjang Sungai Johor termasuk pada akhirnya di Kepulauan Riau.
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
Tunku Ibrahim dilantik sebagai waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta Kerajaan Johor dan dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.
Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.
Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.
Semangat juang dan kecenderungan aktiviti laut yang diwarisi dari keturunan Temenggong menjadikan Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat gemar dengan sukan lasak. Semasa berusia lima tahun Tuanku memandu bot laju dalam satu pertandingan bot. Tuanku berkebolehan dan bertauliah memandu kapal laut, kapalterbang jet dan helikopter dan merupakan Raja Melayu yang pertama yang mempunyai lesen memandu keretapi. Tuanku cekap menunggang kuda dan bermain sukan polo. Tuanku merupakan Raja Melayu yang menjelajah setiap pelusuk negeri pada setiap tahun untuk merapatkan diri dengan rakyat melaui Kembara Mahkota semenjak tahun 2001.
Tunku Mahkota ketika itu bertitah, Kembara Mahkota Jelajah Johor juga bermatlamat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Menerusi ekspedisi ini, DYAM Tunku Mahkota dapat melihat kesetiaan pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India menyambut ketibaannya di merata tempat. Siri kedua program ini berlangsung selama empat hari dan tiga malam iaitu pada 25 hingga 28 Mac 2002 merentasi tujuh daerah dengan lebih 15 destinasi sejauh 1002 kilometer melalui jalan raya.